10/07/2026
AGENDA KETERJAMINAN MAKANAN & EKONOMI WAQAF PACU HUBUNGAN STRATEGIK DESB, YWM DAN SOHAR ISLAMIC, OMAN
Alhamdulillah, pada 9 Julai 2026, Delima Emas telah menerima kunjungan rasmi daripada Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam pembangunan Program Waqaf Keterjaminan Makanan (Waqaf Food Security). Inisiatif ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuhkan agenda sekuriti makanan negara melalui ekosistem wakaf yang mampan, inovatif dan berimpak tinggi.
Kunjungan rasmi ini telah disambut oleh Dato' Muhammed Saleh bin Abdul Malek (Pengerusi Eksekutif, DESB) dengan kehadiran Dr. Ridzwan Bakar (Ketua Pegawai Eksekutif, YWM) serta delegasi daripada Sohar Islamic, Kesultanan Oman iaitu Mr. Malik Hilal, Mr. Nasir Abdullah dan Mr. Abdul Aziz Masoud Al Ghafri, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik ke arah pembangunan keterjaminan makanan dan ekonomi berasaskan wakaf di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sesi dimulakan dengan pembentangan korporat oleh En. M. Zaidi bin Ismail, yang memperincikan perjalanan dan pencapaian Delima Emas sejak penubuhannya. Turut diketengahkan ialah pembangunan fasiliti berteknologi moden, keupayaan operasi syarikat, rantaian nilai yang menyeluruh serta portfolio produk ayam organik yang menjadi tunjang kepada komitmen Delima Emas dalam membangunkan ekosistem makanan Halalan Toyyiban yang berkualiti, selamat dan mampan.
Perkongsian diteruskan oleh Dr. Akhmal Hakim bin Roslan, Ketua Pegawai Penyelidikan Delima Emas, yang membentangkan kepentingan ayam organik sebagai sumber protein yang lebih selamat dan berkualiti. Beliau turut mengupas dua isu kesihatan global yang semakin mendapat perhatian dunia, iaitu Antimicrobial Resistance (AMR) akibat penggunaan antibiotik secara tidak terkawal serta ancaman mikroplastik yang semakin meluas dalam rantaian makanan. Perkongsian ini menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemilihan makanan yang lebih bersih, selamat dan dihasilkan secara bertanggungjawab.
Perbincangan strategik kemudiannya memberi fokus kepada pembangunan Model Nasional Program Wakaf Keterjaminan Makanan, pemanfaatan tanah wakaf bagi aktiviti pertanian dan penternakan yang mampan, pengukuhan rantaian bekalan Halalan Toyyiban, pelaksanaan Smart Vending Machine Wakaf bagi memperluaskan akses kepada makanan berkualiti, serta pembangunan modal insan melalui latihan, pensijilan profesional dan peluang kerjaya dalam industri halal.
Sebagai peneraju dalam industri ayam organik dan pemprosesan makanan Halalan Toyyiban, Delima Emas yakin kolaborasi strategik ini mampu menyokong aspirasi Pelan Induk Wakaf Nasional serta memperkukuhkan Agenda Sekuriti Makanan Negara. Lebih daripada itu, inisiatif ini berpotensi memperkasa daya tahan rantaian bekalan industri halal, merancakkan pembangunan ekonomi berasaskan wakaf, serta mewujudkan limpahan manfaat ekonomi dan sosial yang mampan kepada negara dan ummah.
Seusai sesi perbincangan, para delegasi diraikan dengan jamuan makan tengah hari di O2 Original Organic Chicken, restoran berkonsepkan ayam organik premium milik Delima Emas. Menggunakan ayam organik tanpa antibiotik, tanpa hormon tumbesaran dan diproses mengikut piawaian Halalan Toyyiban, O2 Original Organic Chicken membuktikan bahawa makanan yang sihat, selamat dan berkualiti tinggi mampu dipersembahkan dalam pengalaman kulinari moden yang memenuhi cita rasa pengguna masa kini.
Semoga jalinan kerjasama strategik antara Delima Emas, Yayasan Waqaf Malaysia dan Sohar Islamic, Kesultanan Oman menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem wakaf yang lebih progresif serta memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara. Besar harapan kami agar kolaborasi ini membuka lebih banyak peluang kepada pembangunan industri halal, memperkasa sosioekonomi ummah dan membawa manfaat yang berpanjangan kepada masyarakat, negara serta generasi akan datang.