18/01/2026
UJIAN KEHILANGAN
Jam 2.30 pagi ketika itu, sebaik tiba di hotel kami terus bersiap menuju ke Masjidil Nabawi.
Di tepi pintu pagar Masjid, saya kumpulkan anak-anak dan mengingatkan sekali lagi tentang adab serta amalan yang berkaitan. Masuk dengan kaki kanan, baca doa masuk masjid, niat iktikaf, kemudian memberi salam kepada Nabi SAW, kepada Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar, dan seterusnya mendirikan solat Tahiyyatul Masjid.
Dan tanpa dirancang, satu pesanan tambahan keluar secara spontan, disebut dengan nada biasa sahaja,
“Okey, kalau siapa-siapa hilang, kalau tak nampak umi atau abi, terus cari polis, jangan panik ya.. semua polis baik-baik dan ini tempat paling selamat. Ini Rumah Allah, Allah akan jaga kita.”
Kami pun mencari satu sudut untuk solat berjemaah sekeluarga, berimamkan en Suami. Selesai solat, saya beri sedikit tazkirah pendek tentang Masjidil Nabawi, tentang adab, tentang syukur dan bagaimana hati sepatutnya dibawa apabila berada di masjid Rasulullah SAW.
Kemudian kami berpecah, En Suami membawa tiga anak lelaki pergi ziarah Nabi SAW melalui laluan khusus lelaki. Saya p**a membawa empat anak perempuan bergerak menuju ke Kubah Hijau. Laluan berbeza, namun menuju ke arah yang sama, iaitu ziarah sedekatnya dengan Rasulullah SAW.😢
Ini musim puncak, cuti sekolah hujung tahun, Jemaah sangat ramai, pergerakan perlahan dan laluan sesak. Saya menoleh ke belakang, memastikan anak-anak ada bersama. Saya nampak semua ada.
Di hadapan kubah hijau, saya rapatkan anak-anak. Saya beritahu perlahan-lahan, okey, ikut apa umi sebut,
Kemudian kami sama-sama memberi salam,
السَّلَامُ عَلَيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ
السَّلَامُ عَلَيْكَ يَا حَبِيبَ اللَّهِ
السَّلَامُ عَلَيْكَ يَا نَبِيَّ اللَّهِ
Disusuli salam kepada para sahabat Baginda.
السَّلَامُ عَلَيْكَ يَا أَبَا بَكْرٍ الصِّدِّيقُ
السَّلَامُ عَلَيْكَ يَا عُمَرُ بْنَ الْخَطَّابِ
Saya dengar suara anak-anak ikut bersama. Tidak semua sempurna sebutannya, tetapi cukup untuk saya tahu mereka hadir dan belajar.
Selepas itu, saya pesan supaya teruskan dengan berselawat dan memberi salam kepada Nabi SAW. Saya sendiri mula tenggelam dalam sebak dan air mata.
Lebih kurang lima belas minit di situ, saya ajak anak-anak bergerak untuk menunggu di bahagian laluan keluar suami dan anak-anak lelaki.
Ketika itulah anak kecil saya, Fatimah, bersuara dengan nada biasa. “Umi, Hana mana?”
Soalan itu cukup membuatkan degupan jantung saya terhenti. Saya pandang sekeliling, dan benar, Hana tidak ada bersama kami.. Allahu Akbar..🥺
Rupanya Hana telah terpisah sebelum kami sampai di kubah hijau lagi. Maksudnya lebih kurang dua puluh minit sebelum kehilangannya disedari. Dan tambah bimbang, Hana tertinggal kad maklumat yang patut dipakai, jadi tiada sebarang pengenalan padanya.
Saya terus memimpin tangan Fatimah yang berumur enam tahun dan meminta anak-anak lain supaya ikut rapat. Saya tidak mahu lagi terpisah dengan mana-mana anak.
Langkah saya laju tapi rasa lemah kerana debaran, saya berpusing kiri dan kanan, mencari di tengah laluan, di tepi laluan, sejauh mana yang saya mampu dalam lautan manusia.
Dalam pencarian itu, saya mengulang zikir tanpa henti,
“Ya Allah Ya Malik. Wahai Tuhan Yang Maha Memiliki. Anak ini milik-Mu ya Allah. Engkau amanahkan dia kepadaku untuk menjaganya. Maafkan aku ya Allah jika aku terlalai. Pulangkanlah kembali Hana kepadaku ya Allah.”
Kemudian saya ulang p**a.
“Ya Allah Ya Hafiz. Wahai Tuhan Yang Maha Menjaga. Peliharalah Hana. Jagalah Hana ya Allah.”
Air mata mengalir tanpa sedar.
Sebaik berdepan dengan suami, terus saya ceritakan secara ringkas apa yang berlaku. Saya jawab jujur soalan suami, bahawa saya tidak sedar bila Hana terpisah. Kami kemudian berpecah ke arah bertentangan, mengatur pencarian.
Dan Subhanallah, tidak lama selepas itu, lebih kurang 10min, dari kejauhan saya nampak Hana bersama anak lelaki kami, Imran. Hana terus menerpa memeluk saya sambil menangis.
Alhamdulillah ya Allah. Alhamdulillah. 😢
Saya terus peluk dan cium Hana. Bila keadaan sedikit tenang, saya tanya apa yang berlaku.
Hana pun tak tahu nak jelaskan, ini kali pertama dia melihat Masjidil Nabawi yang begitu indah dengan ramainya orang. Dia leka memandang sekeliling dan bila sedar, dia sudah tidak nampak umi dan kakak-kakaknya.
Tetapi Hana ingat satu perkara. Iaitu Pesanan umi,
“Kalau hilang, cari polis !”
Setelah itu Hana terus mencari polis dan berkata sambil menangis, “please my mom is gone.”
Polis cuba menenangkan dan bertanya, where you from?
Hana jawab, “I’m from Seremban.”🤭
Bila polis nampak keliru, Hana sambung, “I’m from Malaysia.”
Polis mengambil gambar Hana dan menghubungi rakan-rakan polis lain di sekitar masjid. Hana faham polis itu sedang membantu.
Hana cerita lagi, ketika dia sedang menangis teresak-esak, polis berkata, “don’t cry”, dan Hana terus berhenti menangis. Dia duduk dan menunggu dengan tenang.
MasyaAllah.
Imran p**a bercerita. Sebaik dia keluar dari laluan ziarah Nabi, dia terus rasa mahu ke tandas, di situlah dia nampak Hana sedang duduk di tepi seorang polis penjaga Masjid Nabawi.
Sebaik Hana nampak Imran, dia terus bangun mendapatkan abangnya. Polis itu melepaskan Hana setelah disahkan mereka saling mengenali.
Allahu Akbar.. begitulah Allah pertemukan kami kembali dengan sangat indah.
Dan di situlah saya belajar,
bahawa kebergantungan sebenar bukan pada genggaman tangan,
tetapi pada tawakkal kepada Allah.
Kehilangan itu tidak lama.
Tetapi pengajarannya terasa sangat dalam.
Allah tidak mengambil selamanya,
Allah hanya menunjukkan,
Menunjukkan betapa lemahnya kita sebagai ibu bapa,
Allah uji sehingga kita rasa tidak berdaya,
Allah mahu mendidik, betapa perlunya kita sentiasa menyerahkan kebergantungan kepada Yang Maha Pemilik hakiki diri kita dan anak-anak.
Sedikit pengajaran daripada kisah saya ini, kepada ibu bapa yang membawa anak kecil ke Tanah Suci, khususnya pada musim sesak,
Pertama, pesan kepada anak-anak dengan tenang dan jelas. Jika terpisah, cari polis. ☺️
Kedua, yakinkan mereka bahawa Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah antara tempat paling selamat di dunia. Ini tempat yang sangat dekat dengan Allah. Allah pasti akan menjaga.
Ketiga, tentang zikir. Zikir Ya Allah Ya Malik dan Ya Hafiz boleh diamalkan ketika kehilangan apa sahaja. Tetapi ia perlu disertai dengan penyerahan yang sebenar dan doa dengan yakin.
Kerana hakikatnya, kita hanya pemegang amanah. Allah jualah Pemilik dan Penjaga sebenar.
Moga kisah ni memberi manfaat. Moga Allah terus menjaga anak-anak kita, di mana sahaja mereka berada dan di setiap masa.
Asma’ binti Harun
*Raihanah (Hana) yang paling kiri dalam gambar di bawah, umurnya 8 tahun ketika ini. Umrah hujung tahun lepas.