30/07/2025
PERKHIDMATAN FERI BAKAL CERIAKAN 30,000 PENDUDUK PULAU BUM-BUM
SEMPORNA; 30 JULAI 2025 (Rabu) – Impian lebih 30,000 penduduk Pulau Bum-Bum di Semporna untuk memiliki akses pengangkutan yang lebih selamat akhirnya bakal menjadi kenyataan apabila kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan feri khas untuk kegunaan penduduk p**au itu.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sulayaban, Datuk Abd Hajan Gurimbang berkata, perkhidmatan feri tersebut kini berada pada fasa akhir persiapan dan dijangka beroperasi tidak lama lagi bagi memudahkan urusan harian penduduk.
“Di bawah kerajaan GRS pimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, sementara menunggu jambatan Pulau Bum-Bum dilaksanakan, saya mencadangkan agar feri ini menjadi kemudahan alternatif untuk penduduk p**au,” katanya ketika melakukan lawatan tapak dan mesyuarat perbincangan pembinaan pangkalan feri antara Pulau Bum-Bum dan Pekan Semporna, hari ini.
Selama ini, ketiadaan akses tetap ke p**au tersebut menyebabkan penduduk terpaksa bergantung kepada bot-bot kecil, termasuk untuk membawa kenderaan dan barangan berat, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko keselamatan.
Seorang pekerja swasta, Rosdi, berkata penggunaan feri pastinya lebih selamat berbanding bot-bot kecil yang sering digunakan ketika ini.
“Kadang-kadang memang agak berbahaya juga guna bot kecil, kalau ada feri, perjalanan lebih selamat,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Mahamod Bungsu, menyifatkan kemudahan feri ini sudah lama dinantikan selepas pelbagai pihak sebelum ini gagal merealisasikan projek jambatan Pulau Bum-Bum.
“Sudah cukup lama kami tunggu kemudahan penghubung ke tanah besar Semporna ini, jambatan memang pernah diumumkan oleh beberapa menteri tetapi sampai hari ini tidak menjadi kenyataan,” katanya.
Lawatan berkenaan turut disertai wakil Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Jabatan Kerja Raya Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Pejabat Daerah Semporna serta beberapa agensi kerajaan lain yang berkaitan.
Untuk rekod, pembinaan jambatan Pulau Bum-Bum sepanjang kira-kira 1.4 kilometer dengan kos dianggarkan RM430 juta pernah diusulkan sejak 2012 namun masih belum direalisasikan.
Pada 2022 p**a, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan bahawa perkhidmatan feri akan dipertimbangkan secara serius sebagai penyelesaian sementara bagi memenuhi keperluan penduduk p**au tersebut, sementara menunggu cadangan jambatan menjadi realiti.