Saya Muhammad Ruzaini Baddri, 32 telah menceburkan diri ke pelbagai bidang sebelum ini. Saya pernah bekerja di bidang perhotelan, insuran, perbankan malah ke peringkat pengurusan di bidang kesihatan. Namun seperti kebanyakkan orang saya juga mempunyai impian untuk menghasilkan produk sendiri. Sebelum menghasilkan mee kuning sendiri ini saya telah pun bermula dengan memborong produk-produk usahawan
lain untuk diniagakan. Saya pernah memborong produk seperti pelbagai kerepek tempatan, barangan harian seperti sos, kicap, kordial minuman, makanan tin dan berbagai lagi barangan proses usahawan lain untuk dihantar ke pusat-pusat stor jualan seperti Mart dan kedai-kedai serbaneka 24 jam. Setelah menjual produk hasil usahawan lain sekian lama, terdetik di hati “kenapa aku tidak menghantar produk sendiri ke supermarket-supermarket sekarang?” kerana sedar bahawa pasaran tidak menjadi masalah kerana sememangnya sudah mempunyai pasaran sendiri untuk produk-produk sedia ada sekarang, maka saya mencari idea produk apa yang harus dihasilkan. Pada mulanya, saya mensasarkan untuk membuat perniagaan beras kerana prosesnya yang mudah iaitu hanya memborong beras daripada Syarikat Beras Nasional (BERNAS) dan hanya perlu membungkusnya semula ke plastik yang berjenama sendiri serta merupakan keperluan asas harian. Namun, hal ini tidak lah mudah seperti yang disangkakan. Kerana isu-isu tertentu terutama daripada pihak tempat meminta kebenaran yang tidak dapat saya penuhi maka saya terpaksa menarik diri daripada meneruskan idea ini. Walaubagaimanapun, impian untuk menghasilkan produk sendiri itu tidak terhenti di situ sahaja. Satu hari saya mendapat info daripada kawan melalui Applikasi Whatsapp di Telefon bimbit tentang Kursus Membuat Mee Kuning yang dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan. Tanpa berlengah saya terus berfikir “kenapa aku tidak memilih pilihan kedua sahaja selepas beras?”. Saya terus membuat keputusan pada hari yang sama dengan mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus itu. Maka dari situ terhasillah jenama produk pertama saya iaitu Mee Kuning Ana. Mee Kuning Ana ini adalah sempena nama anak saya yang kedua iaitu Hanis Rafhanah. Kini anda boleh melihat produk pertama saya ini di Facebook dengan kata carian Mee Kuning Ana dan di portal Agrobazaar Online dengan kata carian Mee Ana. Malah SEO Mee Kuning Ana adalah first ranking pada masa ini di GOOGLE.